Bibliografi dan Latar Belakang Saiyidina Umar Al-Khattab ra.
Nama sebenar                   : Umar bin Al-Khattab bin Nufail bin Abdul Uzza bin Ribaah bin Abdillah bin Qarth bin Razaah bin 'Adi bin Kaab
Nama Ibu                         : Hantamah bte Hasyim bin Al-Mughirah bin Abdillah bin Umar bin Makhzum.
Gelaran                            : Al-Faruq
Keturunan                        : Arab Quraisy (Kabilah Bani Adi)
Tarikh lahir                        : 13 tahun selepas berlakunya peristiwa Abrahah (menurut Imam Nawawi)
Jawatan                           : Khalifah Ar-Rasyidin Kedua
Tarikh Lantikan                  : 634M
Tempoh Jawatan                : 10 tahun
Tarikh M/Dunia                  : 23H @ 644M
Umur                               : 63 tahun
Semasa sebelum  memeluk Islam, beliau merupakan duta bagi kaumnya terutama untuk  mengadakan perundingan antara kabilah yang bermusuhan. Beliau merupakan  mertua Rasulullah SAW apabila Rasulullah bernikah dengan anaknya, Hafsah  bte Umar. Beliau salah seorang yang dijamin Syurga oleh Rasulullah SAW.  
Sifat Peribadi Umar al-Khattab
Ubaidullah  bin Umar menceritakan bahawa suatu hari para sahabat melihat Umar  memikul tempat air di bahunya. Lalu mereka bertanya : "Wahai Amirul  Mukminin ! Mengapa tuan sendiri yang memikul air ini ?"   Jawab Umar al-Khattab : "Saya merasakan bahawa diri saya telah takbur, lalu saya mengangkat air ini untuk menundukkannya"
Kata  Aslam beberapa orang berbicara dengan Abdul Rahman bin Auf. Kata mereka  : "Umar al-Khattab telah menimbulkan rasa takut kami sehingga mata kami  tidak berani bertentangan mata dengannya". Hal ini diadukan oleh Abdul  Rahman bin Auf. Lalu Umar al-Khattab berkata : "Benarkah mereka berkata  demikian ?" "Demi Allah, saya telah cuba melunakkannya, sehingga  lantaran lunak saya itu saya takut dimarahi Allah. Saya cuba pula dengan  sikap keras sehingga saya takut Allah marah kepada saya. Bagaimanakah  lagi ? Bagaimana nasib saya yang berbeza dengan mereka ?"
Diriwayatkan oleh  Umar bin Murrah  bahawa  seorang lelaki bertemu dengan Umar al-Khattab dan berkata : "Bersikap  lunaklah kepada kami, sebab kami amat gentar melihatmu !" Umar menjawab :  "Adakah saya berbuat sesuatu yang zalim ? " Jawab lelaki itu : "Tidak"  Kata Umar lagi : "Kalau begitu, biarlah Allah menambah rasa takut dalam  hatimu terhadapku"
Menurut  Barrak bin Makrur : "Pada suatu hari Umar al-Khattab naik ke mimbar  untuk memberi tazkirah, tiba-tiba dia merasa sakit. Menurut para jamaah,  ubatnya adalah madu lebah dan di Baitulmal banyak tersimpan madu lebah"  Kata beliau : "Kalau tuan-tuan izinkan, saya akan gunakannya, tetapi  kalau tidak diizinkan haram ke atas saya mengambilnya.
Keislaman Saidina Umar
Beliau  memeluk Islam pada tahun ke 6 kenabian ketika berumur 27 tahun.  Tindakannnya ini mengemparkan masyarakat Quraisy dan memberi berita  gembira kepada umat Islam bahawa Islam akan menjadi kuat.
Rasulullah  SAW pernah berdoa ; "Ya Allah kuatkan Islam dengan Umar Al-Khatab atau  Abu Jahal b. Hisyam" Hadtih riwayat At-Thabarani
Dalam  sebuah hadith lain yang diriwayatkan oleh At-Thabarani bahawa  Rasulullah SAW juga pernah berdoa : "Ya Allah kuatkan Islam dengan Umar  Al-Khatab"
Sebuah  hadith dari Ibnu Abbas yang diriwayatkan oleh Ibnu Majah bahawa  Rasulullah SAW berkata : "Apabila Umar memeluk Islam, Jibrilpun datang  dan berkata : "Ya Muhammad, sesungguhnya seluruh makhluk langit  bergembira dengan islamnya Umar"
Setelah  memeluk Islam, Rasulullah SAW telah mengelarnya sebagai Al-Faruq kerana  dapat membezakan di antara perkara yang benar dan bathil. Ketika  ditanya oleh para sahabat bagaimana dia mendapat gelaran tersebut,  Saidina Umar menjawab : "Pada suatu hari, Aku bertanya kepada Rasulullah  SAW : "Ya Rasulullah SAW, adakah kita dalam kebenaran ?"
Jawab Rasulullah SAW : "Benar"
Aku berkata lagi : "Kenapakah kita beribadah secara sembunyi ?"
Kemudian  kami masuk ke Masjidil Haram membuat dua syaf, satu saya dan satu lagi  Saidina Hamzah (berjemaah). Maka semua orang KAFFIR Quraisy melihat ke  arah kami berdua dengan perasaan yang sangat marah yang tidak pernah  mereka terjadi sebelum ini, lalu Rasulullah SAW mengelarkan aku Al-Faruq  ! 
Dengan  islamnya Umar, maka umat Islam yang sebelum itu sentiasa ketakutan  menjadi kuat. Mereka telah berani solat secara terang-terangan  di BaitulLah   khususnya  setelah peristiwa di atas. Di samping itu juga, orang Quraisy juga  tidak berani menganggu orang Islam yang sedang beribadah kerana takut  kepada Umar.
Keberanian Umar
Peristiwa  yang  menarik perhatian kafir Quraisy Makkah ialah apabila Saidina Umar  Al-Khattab mengambil langkah untuk berhijrah secara terang-terangan,  berbeza dengan pendirian para sahabat yang lain yang terpaksa berhijrah  secara rahsia.
Umar Al-Khattab terkenal sebagai seorang yang berani  semasa kafir dan   bertambah  berani sesudah beriman. Pada detik-detik terakhir sebelum meninggalkan  kota Makkah untuk berhijrah ke Madinah, Saidina Ali r.a. yang  menyaksikan peristiwa tersebut, meriwayatkan: Setelah saidina Umar  membuat keputusan untuk berhijrah, beliau mengambil sebilah pedang  disandang di sisi pinggangnya, kemudian dicapainya busar panah lalu  disangkut dibahunya, sebatang anak panah tergenggam ditangannya dan  melangkahkan kaki menuju ke Kaa'bah. Ketika itu tokoh-tokoh Quraisy  sedang bersantai di sisi Ka'abah menyaksikan kehadiran Umar.
Saidina  Umar melakukan tawaf tujuh kali dengan penuh semangat tetapi tenang,  tanpa menghiraukan tokoh-tokoh kafir Quraisy yang memerhatikannya.  Sebaik selesai melakukan tawaf, beliau menuju ke Maqam Ibrahim dan  mendirikan solat.
Selesai  solat, Umar berdiri di sisi Maqam Ibrahim sambil mengeluarkan kata-kata  yang keras dan pedas terhadap puak kuffar Quraisy. kata Umar:  "Sesungguhnya Allah SWT tidak akan membinasakan wajah manusia di dunia  ini, kecuali wajah puak-puak jahannam yang memusuhi agama Allah."
Kata  Umar lagi: "Barangsiapa yang sanggup menjadikan ibunya keseorangan  disebabkan kematian anak, meletakkan anak-anak mereka menjadi yatim  piatu lantaran kematian bapa, sanggup menjadikan isteri kesayangannya  menjadi balu kerana kematian suami, marilah kita adu senjata di sebalik  bukit ini."
Cabaran  Saidina Umar terhadap tokoh-tokoh Quraisy yang menyaksikan kehadiran  Umar dengan pedang terhunus itu, ternyata menimbulkan kesan gerun di  dalam hati mereka. Pertama kali mereka mendengar cabaran yang begitu  hebat dari Umar, mereka terpegun tanpa seorangpun yang berani menyahut  cabaran Umar berlawan senjata.
Dari  sudut psikologi, cara Umar mencabar puak Quraisy dengan gaya seorang  pahlawan yang bersedia untuk mati, menjadikan puak Quraisy lemah  semangat. Mereka membisu tanpa reaksi, sekalipun Umar mengutuk mereka  sebagai puak yang bakal dibinasakan Allah SWT. Dalam keadaan puak  Quraisy lemah semangat, Umar mengajaknya adu senjata.
Saidina  Ali r.a. yang turut mendengar kata-kata Umar itu berkata: Sesudah itu  Umar melangkahkan kaki meninggalkan kota Makkah dengan tenang, tanpa  dijejaki oleh puak-puak Quraisy. Bagaimanapun peristiwa itu memberi  seribu rahmat kepada kaum muslimin yang letih lesu, dari kalangan  orang-orang tua, orang-orang sakit yang tidak terdaya meninggalkan kota  Makkah tanpa teman. Mereka semua mengambil peluang untuk berhijrah ke  Madinah bersama Umar Al-Khattab, dengan aman tanpa sebarang gangguan.
Berikutan  dari peristiwa itu, maka kaum muslimin Makkah telah menyahut seruan  hijrah. Sehingga tiada lagi para penyokong Nabi s.a.w. yang tinggal di  Makkah, kecuali Nabi s.a.w., Saidina Abu Bakar As-Siddiq. Saidina Ali  bin Abi Talib, selain itu orang-orang yang sakit, mereka yang tidak  kenderaan dan keupayaan berhijrah dan mereka yang dikenakan tahanan oleh  pihak  Quraisy, akibat tindakan mereka menyahut seruan Islam
Hadith tentang Umar
1.  Semasa tidur, aku bermimpi bahawa aku berada dalam Syurga. aku lihat  seorang perempuan sedang berwudhuk dekat sebuah istana. Aku bertanya  untuk siapa istana ini. Katanya : Untuk Umar" Hadith riwayat Shiekhaini  (Bukhari dan Muslim)
2. Sesungguhnya Allah menjadikan lidah dan hati Umar itu di atas kebenaran. Hadith riwayat At-Turmizi
3. Sekiranya selepas aku ada nabi, sudah pasti Umarlah orangnya. Hadith riwayat At-Turmizi
4. Sesungguhnya aku lihat syaitan-syaitan dari kalangan jin dan manusia lari lintang pukang dari Umar. Hadith riwayat At-Turmizi
5. Umar cahaya bagi penduduk Syurga.
6. Semua malaikat di langit menyayangi Umar dan semua syaitan di dunia melarikan diri dari Umar
7.  Sesungguhnya ada seseorang di kalangan umat sebelum kamu yang menjadi  sebutan ramai (kerana kebaikannya), jika perkara ini terjadi dalam umat  Islam, sudah tentu Umarlah orangnya. Hadith riwayat Bukhari.
8.  Tidak ada sesuatu perkara yang diperkatakan oleh orang ramai dan  kemudian diperkatakan oleh Umar, nescaya turunlah al-Quran sebagaimana  yang dilafazkan oleh mulut Umar. (Kata-kata Abdullah bin Umar)
Umar Sebagai Orang Yang Pertama
1. Pertama digelar Amirul Mukminin
2. Pertama menggunakan Hijrah sebagai kalendar Islam
3. Pertama mengenakan pukulan 80 kali ke atas peminum arak
4. Pertama mengharamkan nikah mut'ah
5. Pertama mewajibkan zakat ke atas kuda
6. Pertama menubuhkan jabatan-jabatan
7. Pertama sunatkan Qiyyam Ramadhan
8. Pertama mengarahkan solat Jenazah berjemaah dengan 4 takbir
9. Pertama memperkenalkan Al-'Aul dalam masalah Faraid (harta pusaka)
Umar Dan Al-Quran
Saidina  Umar Al-Khattab mempunyai pemikiran yang sangat hebat. Beberapa  pendapatnya merupakan sebab turunnya al-Quran. Di antara ayat-ayat  al-Quran yang diturunkan sempena pendapat beliau ialah :
1) Kisah tawanan Badar  - ayat 28 Surah Al-Anfal
2) Ayat Menjadikan Maqam Ibrahim sebagai tempat solat - Ayat 125  Surah Al-Baqarah
3) Ayat Hijab - Ayat 53  Surah Al-Ahzab
4) Ayat tentang asal-usul kejadian manusia - Ayat 12   Surah Al-Mukminun
>5) Ayat tentang arak  -    Ayat 219   Surah Al-Baqarah dan Ayat 43  Surah An-Nisa'
6) Ayat Larangan Mensolati Jenazah Orang Munafiq - Ayat 84   Surah At-Taubah
7) Kisah orang Munafiq - Ayat 6 Surah Al-Munafiqun
8) Ayat 5  Surah Al-Anfal
9) Ayat 16  Surah An-Nur
10) Ayat tentang penghalalan jima' di malam bulan Ramadhan - Ayat 187  Surah Al-Baqarah
11) Ayat 97  Surah Al-Baqarah
12) Ayat 65  Surah An-Nisa'
13) ayat 13 Surah Al-Waqiah
 








 


 
 



Tidak ada komentar:
Posting Komentar